Sunday, October 10, 2004
Jac juara Malaysian Idol pertama
GENTING HIGHLANDS: Jaclyn Victor atau Jac, mencipta sejarah tersendiri dalam dunia hiburan tanah air apabila diumumkan sebagai juara pertandingan Malaysian Idol pertama, di sini malam tadi.
Peserta berusia 25 tahun itu mengetepikan saingan peserta dari Johor, Faradina Mohd Nazir (Dina), 19, pada persembahan peringkat Grand Finale yang berlangsung di Arena of Stars, di sini, kelmarin.
Sehubungan itu, Kementerian Pelancongan bersedia melantik pemenang Malaysian Idol itu sebagai duta untuk mempromosi pelancongan Malaysia ketika mewakili negara ke pertandingan World Idol yang bakal diadakan tahun depan.
Menteri Pelancongan, Datuk Dr Leo Michael Toyad, bagaimanapun berkata perkara itu hanya akan dilaksana jika pihak penganjur mengemukakan permohonan kepada kementerian bagi membolehkan kerjasama itu dapat dilaksanakan.
Sebagai juara, Jac, peserta dari Kuala Lumpur, menerima hadiah berupa kontrak rakaman bersama syarikat rakaman antarabangsa, BMG, selain mewakili negara ke pertandingan World Idol.
Keputusan itu bagaimanapun bagaikan sudah dijangka berikutan persembahan Jac yang konsisten sepanjang pertandingan berlangsung, malah pada pertandingan akhir, dia ternyata lebih menyerlah berbanding pesaingnya.
Kelmarin, Jac mempersembahkan tiga lagu secara solo sebagai persembahan terakhirnya sebelum undian dibuka kepada rakyat Malaysia yang melakukannya menerusi panggilan telefon dan sistem pesanan ringkas (SMS).
Selain Gemilang ciptaan Aubrey Suwito dan Asmin Mudin, yang akan dirakamkan sebagai single pertamanya, Jac turut menyampaikan lagu Tunggu Sekejap dan When I Fall in Love.
Sumber: Nurulhisham Abdul Latiff dan Norhafzan Jaafar (Berita Harian)
Subscribe to Posts [Atom]